Hitung jam tunggu bulan beranak |
oleh MUHAMAD MAT YAKIM 7/29/2011 7:54:04 AM |
Mak Bulan sedang sarat mengandung dan jika ia jadi beranak lusa, tulat kita akan mula berpuasa. Setiap kali puasa, banyak perubahan berlaku terutama bagi wanita. Tidak! Saya tidak bercakap mengenai kegagalan atau kejayaan usaha menurunkan berat badan. Sebabnya, di negara kita yang aman makmur ini, tidak perlu tunggu hari raya untuk melihat gagalnya seseorang (baca: wanita) menguruskan badan. Melihat juadah berbuka sahaja sudah cukup untuk beri jawapan. Apabila tiba hari raya, majlis rumah terbuka akan memakmurkan lagi bentuk tubuh masing-masing. Apa yang saya maksudkan dengan perubahan ialah jadual harian. Pada bulan puasa, saya percaya ramai wanita berasa lebih terbeban dengan pelbagai tugas tambahan. Orang lelaki bagaimanapun tidak banyak berubah melainkan terawih. Kadang-kadang kedengaran juga suara iri hati, kononnya wanita lebih bertuah kerana ada cuti. Mereka yang rasa begitu barang kali lupa, cuti itu bukan free tetapi perlu diganti. Entah mengapa, hal yang remeh lagi semula jadi seperti itu yang dicemburui... Kerana cuti, ada suami tergamak buli isteri. Segala kerja rumah awak cuti, awak buatlah sendiri. Saya puasa, penat, kena banyak rehat ... Itulah hujah-hujahnya! Walhal pada hari tak ‘cuti’ pun, isteri juga yang kena buat itu, buat ini! Saya percaya, suri rumah sepenuh masa pun sudah rasa terbeban, apa lagi yang bekerja. Tentunya berganda-ganda. Masakan tidak, terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan, daripada membeli, memasak, menyediakan hidangan berbuka sehingga mencuci pinggan mangkuk, periuk belanga. Itu belum lagi dikira tugas-tugas sedia ada seperti membasuh kain, melipat kain dan lain-lain tanggungjawab yang berkaitan dengan kain serta yang bukan kain. Semua tugas-tugas itu, secara tradisinya dianggap oleh lelaki sebagai tanggungjawab wanita, bukan urusan mereka atau kerja bersama. Saya bukan ada mala fide. Orang lelaki, pada bulan puasa, pemikirannya berubah lain sedikit. Inilah masanya mereka akan lebih memikir hal ukhrawi, selalu mahu berada di masjid, berterawih, tazkirah, tadarus dan sebagainya. Selain itu, inilah juga masanya untuk bersilaturahim sesama rakan dan jiran serta bermaaf-maafan. Akan tetapi, di satu sisi lagi, keinsafan itu biasanya menusuk pada awal Ramadan sahaja. Masuk minggu kedua, lepas berbuka biasanya ramai yang hanya mampu berlingkar macam ular sawa kenyang. Kerana itu, tak hairanlah jika lepas raya, ukur lilit perut bertambah hingga hampir menenggelamkan dada. Tiba waktu sahur, wanita jugalah yang lebih dahulu bangun memasak atau setidak-tidaknya memanaskan makanan sedia ada. Hanya setelah semuanya sedia, barulah dikejutkan suami dan anak-anak. Tidak! Saya bukan mengata orang lain seolah-olah segala sikap buruk itu bukan saya. Ini daripada pengalaman, yang ertinya saya sendiri juga begitu. Ya, pada masa menulis pojok ini, barang kali ada insaf sedikit tetapi pada kebanyakan masa, saya sendiri pun lupa. Bukankah kita Melayu yang mudah lupa! Tetapi setidak-tidaknya, sebelum masuk bulan puasa ini, kita renungi, insaf dan hargailah pengorbanan isteri masing-masing. Jika boleh, pada bulan yang lain, sudah puas kita ‘buli’ isteri, bulan puasa ini, berilah peluang untuk mereka berehat sedikit. Kenangkan sahaja, siang hari, mereka bekerja, petang siapkan juadah berbuka, tatkala mereka mengemas dan cuci pinggan mangkuk di dapur, kita pula berlingkar bak ular sawa kenyang di depan TV. Baru mereka nak lelap mata, kita pula kuis-kuis kaki! Apabila mereka bangun siapkan sahur, kita masih sedap berdengkur. Pengorbanan isteri memang tak boleh diukur (tapi pernahkah mereka merungut di depan suami?). Mujur, sangat mujur saya lahir sebagai lelaki. Jika tidak, mahu saya tak kahwin sampai ke mati! |
Realiti seorang rider delivery
1 day ago
7 comments:
hehe. betul2 lelaki kene baca ni..
akak plak..alhamdulillah che ah..tak penah bangun sahur masak pung pang pung pang..semua suami akak buat..akak bagnun makan je..syukur dia byk tolong wat keje umah..:-)
salam ramadhan dari kami..moga ramadhan ini lebih dari sebelumnya..amin....:-)
bgus la cte ni kak..mmg elok tuk lelaki baca spy leh kenang jasa isteri..utk sy, hb keje jauh, drve sejam dr umah, so kalo dia blik sllnya minta dia main2 ngn anak spy sy leh wat keje..:)
kak ros: lega la akak..bestnya kalau gitu..ye la, akak pun dh sarat kan skang ni..hehe..salam ramadhan kak..*banyak nk kena ganti nih*huhu
kz: hehe..kalau dorg leh tlg tggkan anak pun xpe dh kan, bleh kita wat keje ngan aman..hehe
selamat berpuasa..=]
sokong....kerja orang pompuan nie dari celik mata sampailah pejam mata ade aje kerjanyer...
salam, ya saya lelaki... tk krn sudi baca tulisan saya, jika mahu lebih lagi bacaan spt ini, boleh dptkan buku saya ADUHAI SUAMI terbitan Alaf 21, sila rujuk http://mall.karangkraf.com/, boleh juga communicate dgn saya di facebook
facebook saya nama penuh muhamad mat yakim, tq
Post a Comment